Powered By Blogger

Wednesday, 3 December 2014

Kebanjiran warga asing di Malaysia, Selamat Atau Tidak Kepada Rakyat?


Malaysia adalah salah sebuah negara yang sangat dikenali di seantero dunia sebagai negara yang berbilang kaum serta mempunyai etnik yang pelbagai. Disebabkan keunikan itulah Malaysia menjadi salah satu tarikan pelancong untuk datang melancong ke negara ini disamping keadaannya yang aman damai berbanding di negara lain.
Namun begitu, disebabkan Malaysia adalah salah sebuah negara yang mempunyai pelbagai peluang pekerjaan, ramai juga warga negara lain menjadikan Malaysia ini sebagai lubuk rezeki mereka, terutamanya mereka yang datang daripada negara jiran seperti Indonesia, Thailand, Filipina, Bangladesh dan lain-lain.
Kota raya metropolitan Kuala Lumpur pula tidak pernah kelihatan lengang, ianya diibaratkan sebuah kota yang hidup 365 hari tanpa henti siang dan malam. Sana sini manusia berlegar-legar membuat hal mereka masing-masing, mereka pula bukan hanya warganegara Malaysia malah ada juga yang bukan datang daripada warganegara.
Apabila penulis berjalan di sekitar ibu kota ini, penulis berasa seperti bukan berada di tanah tumpah negara sendiri. Sana sini dipenuhi dengan lambakan warga asing yang bertaburan di setiap sudut ibu kota. Hal ini tidak kurang juga berlakunya di negeri-negeri lain dalam Malaysia. Pertumbuhan warga asing pada masa ini terlalu ramai di Malaysia, mereka diibaratkan seperti cendawan tumbuh selepas hujan.
Namun begitu, mereka ini juga menjadi pilihan kebanyakkan majikan di Malaysia kerana sikap mereka yang rajin serta sanggup berkerja keras walaupun dengan hanya kadar gaji yang sedikit. Lain pula perbandingannya dengan rakyat Malaysia yang sanggup menganggur daripada menjadi kuli dengan membuat kerja-kerja berat.
Walhal kehadiran mereka ini juga telah menimbulkan kerisauan kepada ramai pihak terutamanya rakyat Malaysia sendiri dimana kadangkala mereka berasa seperti kurang selamat untuk duduk di negara sendiri. Hal ini kerana warga asing sudah membuat negara kita seperti rumah mereka. Berdasarkan tajuk diatas, penulis ingin mengupas mengenai kebanjiran buruh asing di Malaysia, adakah selamat atau pun tidak selamat daripada segi keselamatan rakyat di Malaysia?
Disini penulis ingin menumpukan analisis lebih kepada buruh asing yang bekerja di Malaysia daripada segi dua aspek iaitu daripada sudut positif dan juga negatif kesan warga asing ini membanjiri Malaysia pada masa ini. Beberapa analisa telah dibuat mengenai warga asing yang datang ke Malaysia secara daftar mahupun tidak daftar.
Mengikut kajian daripada statistik Kementerian Dalam Negeri (KDN), seramai lebih 2.9 juta warga asing yang berdaftar dan dapat dikesan oleh pihak mereka setakat tahun 2013. Statistik yang telah dikeluarkan oleh KDN sudah cukup untuk menggambarkan bahawa Malaysia dibanjiri oleh ramai warga asing. Dengan jumlah sebanyak itu, kebanyakkan daripada mereka mempunyai kerja namun segelintir rakyat Malaysia pula yang menganggur.
Kebanjiran warga asing seringkali dikaitkan dengan globalisasi sesebuah negara dan inilah yang berlaku di negara Malaysia dimana kedatangan mereka didorong oleh faktor pekerjaan khasnya. Walau apapun, kotaraya metropolitan kini dipenuhi dengan kehadiran warga asing dan bilangan mereka ini dari hari kehari semakin bertambah.
Sebenarnya, bagi penulis sendiri kehadiran buruh asing ini mendatangkan pelbagai kesan dan ianya mempunyai pro dan kontra yang tersendiri. Daripada sudut positifnya, kehadiran mereka ini terutamanya buruh asing boleh mempercepatkan proses pembangunan negara iaitu ke arah pertumbuhan ekonomi yang mantap.
Seperti sedia maklum, Malaysia mengalami masalah kekurangan tenaga buruh tempatan dan seterusnya bantuan daripada tenaga buruh luar amat diperlukan bagi mempercepatkan proses pembangunan. Kebanyakkan daripada mereka sebenarnya lebih sanggup untuk bekerja di sektor pembangunan berbanding daripada warga tempatan kita sendiri. Kemasukan buruh asing ke negara ini telah menyebabkan penawaran tenaga buruh di Malaysia bertambah dan secara tidak langsung dapat membantu negara meningkatkan lagi produktiviti yang sedia ada untuk keperluan global.
Selain itu, sudut positif lain pula ialah kehadiran buruh asing ini juga boleh menghasilkan pertukaran teknologi iaitu dengan kedatangan buruh asing boleh menaikkan imej negara iaitu kehadiran mereka ke Malaysia dapat membantu mempromosikan negara ke pentas dunia. Sebagai contoh, mereka boleh mempromosikan tentang keindahan flora dan fauna yang terdapat disini secara tidak langsung dapat membantu industri pelancong negara kita untuk terus berkembang.
Sebagai rakyat Malaysia, kita perlu akui kehadiran buruh asing adalah amat diperlukan dalam menjanakan ekonomi negara. Namun, apa yang kerajaan perlu mengambil tindakan ialah memastikan buruh asing yang masuk ke negara ini dapat didaftar dengan sah. Pada masa ini, Malaysia lebih memerlukan tenaga kerja daripada warga asing untuk masuk ke dalam sektor perkebunan, perkhidmatan, perindustrian serta pembantu rumah.
Daripada segi soal keselamatan pula ialah, bagi penulis sendiri tidak semua buruh asing yang datang ke Malaysia ini mempunyai niat yang jahat. Kadangkala mereka ke sini adalah kerana atas urusan mahu mencari rezeki demi sesuap nasi. Berkemungkinan di negara mereka adalah sangat sukar untuk mereka mendapat peluang pekerjaan akibat kurang kemajuan di tempat mereka. Jadi, daripada artikel MalaysiaKini yang sempat penulis kaji, Menteri Dalam Negeri, YB Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata bahawa jangan sama sekali salahkan 100 peratus buruh asing. Pelaku jenayah adalah daripada rakyat tempatan malah ancaman jenayah melibatkan buruh asing di negara ini hanya merangkumi 10 hingga 15 peratus sahaja.
Dari masa ke semasa, kebanyakan tenaga buruh telah dimonopoli oleh golongan warga asing, lalu ia menjadi punca kekurangan kerja kepada warga tempatan. Mereka mungkin kelihatan seperti ingin memonopoli kerja-kerja buruh di Malaysia tetapi hal sebenarnya ialah rakyat tempatan sendiri yang tidak ingin berkerja di dalam bidang itu. Antara faktor lain pula ialah majikan lebih gemar menggajikan mereka kerana kadarnya yang murah.
Antara tempat yang popular dikunjungi warga asing ini adalah di kawasan Petaling Street, Pasar Seni dan juga di kawasan Bukit Bintang. Kebanjiran warga asing ini telah menyebabkan ramai orang berasa tidak selamat untuk pergi ke tempat-tempat begitu. Sempat penulis menemubual salah seorang pelajar daripada Universiti Malaya, Nur Wardah Norman, 21, berkata, dia seboleh-bolehnya akan mengelakkan dirinya untuk pergi ke tempat-tempat yang dibanjiri warga asing kerana dikhuatiri akan keselamatannya.
Seperti yang penulis sampaikan sebentar tadi, kebanyakkan warga asing yang datang ke negara kita untuk mencari punca rezeki, namun faktor yang tidak menyenangkan ialah apabila mereka turut melakukan kes-kes jenayah seperti kes ragut, menyeluk saku, pecah rumah dan pelbagai lagi. ‘Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga’, perumpamaan ini sangat sesuai kepada warga-warga asing yang datang mencari rezeki di sini. Hal ini kerana hanya segelintir yang melakukan jenayah namun disebabkan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab ini, semua warga asing dipandang serong oleh masyarakat.
Menurut info daripada Bernama, sebanyak 9,496 kes jenayah melibatkan warga asing dicatat antara Januari hingga Ogos tahun ini. Daripada jumlah yang dinyatakan itu, 2,306 kes melibatkan jenayah kekerasan iaitu bunuh (167), rogol (138), mencederakan (498), samun bersenjata api (118), dan samun tanpa senjata api (1385). Selain itu, sejumlah 7,190 kes pula melibatkan jenayah harta benda kecurian iaitu sebanyak (1,871) kes curi kereta, (586), curi motosikal (1,252) curi jentera berat (78) ragut (318) dan pecah rumah (3,103).
Bernama turut melaporkan bahawa pada tahun  2012 terdapat 1,575 kes jenayah melibatkan warga asing atau satu peratus daripada keseluruhan 153,669 kes jenayah manakala pada tahun lepas, jumlah itu meningkat kepada 13,591 atau 9.2 peratus daripada 147,062 keseluruhan kes.
Apa yang dapat disimpulkan daripada statistik itu adalah warga asing kini semakin berani dan bertindak ‘lebih sudu daripada kuah’ terhadap warga tempatan. Dari satu pemerhatian penulis adalah mereka ini tidak takut ditangkap pihak berkuasa, oleh sebab itu mereka berani bertindak sebegitu.
Secara konklusinya, kehadiran buruh asing ke Malaysia mempunyai pro dan kontra yang tersendiri. Kehadiran mereka kadangkalanya bagus untuk pembangunan negara Malaysia tetapi dari sudut negatif pula ada segelintir daripada mereka datang ke Malaysia melakukan jenayah. Selain itu, kehadiran mereka telah menyebabkan peluang pekerjaan penduduk tempatan juga semakin terbatas. Malahan, jenayah membabitkan golongan ini juga semakin berleluasa di Malaysia. Secara kesimpulannya, kerajaan perlu mengambil tindakan tegas agar jumlah pekerja asing dapat dikurangkan.


sumber : google



sumber : google

No comments:

Post a Comment