Malaysia
adalah salah sebuah negara yang sangat dikenali di seantero dunia sebagai
negara yang berbilang kaum serta mempunyai etnik yang pelbagai. Disebabkan
keunikan itulah Malaysia menjadi salah satu tarikan pelancong untuk datang
melancong ke negara ini disamping keadaannya yang aman damai berbanding di
negara lain.
Namun
begitu, disebabkan Malaysia adalah salah sebuah negara yang mempunyai pelbagai
peluang pekerjaan, ramai juga warga negara lain menjadikan Malaysia ini sebagai
lubuk rezeki mereka, terutamanya mereka yang datang daripada negara jiran
seperti Indonesia, Thailand, Filipina, Bangladesh dan lain-lain.
Kota
raya metropolitan Kuala Lumpur pula tidak pernah kelihatan lengang, ianya
diibaratkan sebuah kota yang hidup 365 hari tanpa henti siang dan malam. Sana
sini manusia berlegar-legar membuat hal mereka masing-masing, mereka pula bukan
hanya warganegara Malaysia malah ada juga yang bukan datang daripada
warganegara.
Apabila
penulis berjalan di sekitar ibu kota ini, penulis berasa seperti bukan berada
di tanah tumpah negara sendiri. Sana sini dipenuhi dengan lambakan warga asing
yang bertaburan di setiap sudut ibu kota. Hal ini tidak kurang juga berlakunya
di negeri-negeri lain dalam Malaysia. Pertumbuhan warga asing pada masa ini
terlalu ramai di Malaysia, mereka diibaratkan seperti cendawan tumbuh selepas
hujan.
Namun
begitu, mereka ini juga menjadi pilihan kebanyakkan majikan di Malaysia kerana
sikap mereka yang rajin serta sanggup berkerja keras walaupun dengan hanya
kadar gaji yang sedikit. Lain pula perbandingannya dengan rakyat Malaysia yang
sanggup menganggur daripada menjadi kuli dengan membuat kerja-kerja berat.
Walhal
kehadiran mereka ini juga telah menimbulkan kerisauan kepada ramai pihak
terutamanya rakyat Malaysia sendiri dimana kadangkala mereka berasa seperti
kurang selamat untuk duduk di negara sendiri. Hal ini kerana warga asing sudah
membuat negara kita seperti rumah mereka. Berdasarkan tajuk diatas, penulis
ingin mengupas mengenai kebanjiran buruh asing di Malaysia, adakah selamat atau
pun tidak selamat daripada segi keselamatan rakyat di Malaysia?
Disini
penulis ingin menumpukan analisis lebih kepada buruh asing yang bekerja di
Malaysia daripada segi dua aspek iaitu daripada sudut positif dan juga negatif
kesan warga asing ini membanjiri Malaysia pada masa ini. Beberapa analisa telah
dibuat mengenai warga asing yang datang ke Malaysia secara daftar mahupun tidak
daftar.
Mengikut
kajian daripada statistik Kementerian Dalam Negeri (KDN), seramai lebih 2.9
juta warga asing yang berdaftar dan dapat dikesan oleh pihak mereka setakat
tahun 2013. Statistik yang telah dikeluarkan oleh KDN sudah cukup untuk
menggambarkan bahawa Malaysia dibanjiri oleh ramai warga asing. Dengan jumlah
sebanyak itu, kebanyakkan daripada mereka mempunyai kerja namun segelintir
rakyat Malaysia pula yang menganggur.
Kebanjiran
warga asing seringkali dikaitkan dengan globalisasi sesebuah negara dan inilah
yang berlaku di negara Malaysia dimana kedatangan mereka didorong oleh faktor
pekerjaan khasnya. Walau apapun, kotaraya metropolitan kini dipenuhi dengan
kehadiran warga asing dan bilangan mereka ini dari hari kehari semakin
bertambah.
Sebenarnya,
bagi penulis sendiri kehadiran buruh asing ini mendatangkan pelbagai kesan dan
ianya mempunyai pro dan kontra yang tersendiri. Daripada sudut positifnya,
kehadiran mereka ini terutamanya buruh asing boleh mempercepatkan proses pembangunan
negara iaitu ke arah pertumbuhan ekonomi yang mantap.
Seperti
sedia maklum, Malaysia mengalami masalah kekurangan tenaga buruh tempatan dan
seterusnya bantuan daripada tenaga buruh luar amat diperlukan bagi
mempercepatkan proses pembangunan. Kebanyakkan daripada mereka sebenarnya lebih
sanggup untuk bekerja di sektor pembangunan berbanding daripada warga tempatan
kita sendiri. Kemasukan buruh asing ke negara ini telah menyebabkan penawaran
tenaga buruh di Malaysia bertambah dan secara tidak langsung dapat membantu
negara meningkatkan lagi produktiviti yang sedia ada untuk keperluan global.
Selain
itu, sudut positif lain pula ialah kehadiran buruh asing ini juga boleh
menghasilkan pertukaran teknologi iaitu dengan kedatangan buruh asing boleh
menaikkan imej negara iaitu kehadiran mereka ke Malaysia dapat membantu
mempromosikan negara ke pentas dunia. Sebagai contoh, mereka boleh
mempromosikan tentang keindahan flora dan fauna yang terdapat disini secara
tidak langsung dapat membantu industri pelancong negara kita untuk terus
berkembang.
Sebagai
rakyat Malaysia, kita perlu akui kehadiran buruh asing adalah amat diperlukan
dalam menjanakan ekonomi negara. Namun, apa yang kerajaan perlu mengambil
tindakan ialah memastikan buruh asing yang masuk ke negara ini dapat didaftar
dengan sah. Pada masa ini, Malaysia lebih memerlukan tenaga kerja daripada
warga asing untuk masuk ke dalam sektor perkebunan, perkhidmatan, perindustrian
serta pembantu rumah.
Daripada
segi soal keselamatan pula ialah, bagi penulis sendiri tidak semua buruh asing
yang datang ke Malaysia ini mempunyai niat yang jahat. Kadangkala mereka ke
sini adalah kerana atas urusan mahu mencari rezeki demi sesuap nasi.
Berkemungkinan di negara mereka adalah sangat sukar untuk mereka mendapat
peluang pekerjaan akibat kurang kemajuan di tempat mereka. Jadi, daripada
artikel MalaysiaKini yang sempat penulis kaji, Menteri Dalam Negeri, YB Dato'
Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata bahawa jangan sama sekali salahkan 100
peratus buruh asing. Pelaku jenayah adalah daripada rakyat tempatan malah
ancaman jenayah melibatkan buruh asing di negara ini hanya merangkumi 10 hingga
15 peratus sahaja.
Dari
masa ke semasa, kebanyakan tenaga buruh telah dimonopoli oleh golongan warga
asing, lalu ia menjadi punca kekurangan kerja kepada warga tempatan. Mereka mungkin
kelihatan seperti ingin memonopoli kerja-kerja buruh di Malaysia tetapi hal
sebenarnya ialah rakyat tempatan sendiri yang tidak ingin berkerja di dalam
bidang itu. Antara faktor lain pula ialah majikan lebih gemar menggajikan
mereka kerana kadarnya yang murah.
Antara
tempat yang popular dikunjungi warga asing ini adalah di kawasan Petaling
Street, Pasar Seni dan juga di kawasan Bukit Bintang. Kebanjiran warga asing
ini telah menyebabkan ramai orang berasa tidak selamat untuk pergi ke
tempat-tempat begitu. Sempat penulis menemubual salah seorang pelajar daripada
Universiti Malaya, Nur Wardah Norman, 21, berkata, dia seboleh-bolehnya akan mengelakkan
dirinya untuk pergi ke tempat-tempat yang dibanjiri warga asing kerana
dikhuatiri akan keselamatannya.
Seperti
yang penulis sampaikan sebentar tadi, kebanyakkan warga asing yang datang ke
negara kita untuk mencari punca rezeki, namun faktor yang tidak menyenangkan
ialah apabila mereka turut melakukan kes-kes jenayah seperti kes ragut,
menyeluk saku, pecah rumah dan pelbagai lagi. ‘Kerana nila setitik, rosak susu
sebelanga’, perumpamaan ini sangat sesuai kepada warga-warga asing yang datang
mencari rezeki di sini. Hal ini kerana hanya segelintir yang melakukan jenayah
namun disebabkan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab ini, semua warga
asing dipandang serong oleh masyarakat.
Menurut
info daripada Bernama, sebanyak
9,496 kes jenayah melibatkan warga asing dicatat antara Januari hingga Ogos
tahun ini. Daripada jumlah yang dinyatakan itu, 2,306 kes melibatkan jenayah
kekerasan iaitu bunuh (167), rogol (138), mencederakan (498), samun bersenjata
api (118), dan samun tanpa senjata api (1385). Selain itu, sejumlah 7,190 kes
pula melibatkan jenayah harta benda kecurian iaitu sebanyak (1,871) kes curi
kereta, (586), curi motosikal (1,252) curi jentera berat (78) ragut (318) dan
pecah rumah (3,103).
Bernama turut melaporkan bahawa pada tahun 2012 terdapat 1,575 kes jenayah melibatkan
warga asing atau satu peratus daripada keseluruhan 153,669 kes jenayah manakala
pada tahun lepas, jumlah itu meningkat kepada 13,591 atau 9.2 peratus daripada
147,062 keseluruhan kes.
Apa yang dapat disimpulkan daripada statistik itu
adalah warga asing kini semakin berani dan bertindak ‘lebih sudu daripada kuah’
terhadap warga tempatan. Dari satu pemerhatian penulis adalah mereka ini tidak
takut ditangkap pihak berkuasa, oleh sebab itu mereka berani bertindak
sebegitu.
Secara konklusinya, kehadiran buruh asing ke
Malaysia mempunyai pro dan kontra yang tersendiri. Kehadiran mereka
kadangkalanya bagus untuk pembangunan negara Malaysia tetapi dari sudut negatif
pula ada segelintir daripada mereka datang ke Malaysia melakukan jenayah.
Selain itu, kehadiran mereka telah menyebabkan peluang pekerjaan penduduk
tempatan juga semakin terbatas. Malahan, jenayah membabitkan golongan ini juga
semakin berleluasa di Malaysia. Secara kesimpulannya, kerajaan perlu mengambil
tindakan tegas agar jumlah pekerja asing dapat dikurangkan.
|
sumber : google |
|
sumber : google |